Nukilan Yusof Embong (Uyie)
http://www.yusofembong.blogspot.com/
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
PENDAHULUAN
Ramai orang menyangka masuk neraka kerana tak solat, tak puasa, tak zakat dan lain-lain perkara yang bersangkutan dengan 'ibadat'. TETAPI tidak menyedari bahawa ramai yang masuk neraka itu kerana Tak Jaga Hubungan Dengan Manusia seperti mengumpat, memfitnah dan menipu. Mari kita meneliti apa yang diutarakan oleh Imam al-Ghazali rhm dalam kitabnya Mau'zah al-Mukminin(Bimbingan Mukminin).
Allah s.w.t. telah menaskan celaan mengumpat ini di dalam kitabNya yang mulia, dan telah menyamakan orang yang suka mengumpat itu, dengan orang yang memakan daging saudaranya yang telah mati. Allah telah berfirman:
“Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain, Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudarnya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.” (al-Hujurat: 12)
Rasulullah s.a.w. pula bersabda:
“Setiap orang Muslim atas Muslim yang lain haram darahnya (tidak boleh membunuhnya tanpa hak), haram hartanya (tidak boleh merampasnya) dan haram kehormatannya (tidak boleh mengumpatnya).”
Ghibah atau mengumpat itu melanggar kehormatan orang, seperti yang dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w. berikut:-
“Wahai golongan orang-orang yang telah beriman lidahnya, tetapi belum beriman pula hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan jangan pula mengintip-intip keaiban-keaibannya. Sebab barangsiapa yang mengintip keaiban saudaranya, niscaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang Allah mengintip keaibannya, nescaya DIA(ALlah) akan mendedahkannya, meskipun dia berada di tengah-tengah rumahnya.”
Diriwayatkan dari Mujahid, bahwa dia telah mengulas tentang maksud ayat berikut:
“Celakalah untuk setiap pengumpat, penista.” (al-humazah: 1)
Erti pengumpat di sini, ialah menikam peribadi seseorang dengan kata-kata yang memburukkan dan melukai hati. Dan penista pula diumpamakan seperti memakan daging saudara yang telah mati melalui mengumpat.
Didapati bahwa kebanyakan para Salaf Soleh berpendapat, bahwa ibadat itu bukanlah hanya setakat puasa atau bersembahyang saja, tetapi terkira dalam ibadat juga menahan diri dari mengumpat orang lain.
Ibnu Abbas berkata: Andaikata anda ingin menyebut-nyebut keaiban sahabatmu, terlebih dulu sebutkanlah keaiban diri sendiri.
PENGERTIAN MENGUMPAT DAN BATASNYA
Ketahuilah bahwa batas mengumpat itu, ialah apabila anda menyebut sesuatu yang boleh menimbulkan kebencian atau kemarahan saudaramu, bila ia mendengarnya, sama ada yang disebutkan oleh anda sebagai kekurangan-kekurangan pada anggota badannya, atau keturunannya, atau bentuk kejadiannya, atau perbuatannya, atau perkataannya, atau agamanya, atau dunianya ataupun pada pakaiannya, rumahnya dan binatang kenderaannya sekalipun.
MAKSUD KEKURANGAN
Yang dikatakan kekurangan-kekurangan dalam anggota badan, ialah seperti anda mengatakan dia itu rabun juling, botak, pendek, panjang, hitam, kuning dan lain-lain sifat yang boleh menjadikan ia merasa benci dan marah jika mendengarnya.
Mengenai kekurangan-kekurangan dalam nasab keturunan pula, ialah seperti anda mengatakan, bahwa bapanya seorang fasik, jahat dan rendah kelakuannya, ataupun bapanya tukang pikul air, atau sebagainya yang boleh menyebabkan ia marah dan benci.
Mengenai kekurangan-kekurangan dalam bentuk dan rupa, ialah seperti anda mengatakan, bahwa ia itu buruk atau hodoh bentuk kejadiannya, kikir, sombong, bongkak, suka bermegah diri, pemanas, pengecut, degil atau seumpamanya.
Adapun tentang kekurangan-kekurangan dalam perbuatannya mengenai urusan keduniaan ialah seperti anda mengatakan, bahwa iaitu seorang pencuri, penipu, pembohong, taik arak, pengkhianat, zalim suka cuaikan sembahyang, tidak keluarkan zakat, tidak mengambil berat tentang perkara-perkara najis, menderhaka kepada ibu bapa atau seumpamanya.
Manakala perbuatannya yang mengenai urusan keagamaan pula, seperti anda mengatakan, iaitu kurang ajar orangnya, tidak mengendahkan orang, banyak mulut, besar temboloknya, suka tidur banyak, tak tahu meletakkan diri pada tempatnya.
Yang mengenai pakaian pula ialah seperti anda mengatakan bahwa lengan bajunya terlalu panjang, seluarnya terlalu labuh ke bawah, bajunya kotor dan seumpamanya.
Walhasil kata yang menyeluruh dalam pengertian ghibah atau mengumpat, iaitu seperti yang terkandung di dalam Hadis Rasulullah s.a.w. berikut:
“Ghibah (mengumpat) itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu yang dibencinya.”
Yang dilarang pula, ialah menyebut perihal saudaramu dengan lidah, sebab dengan sebutan itu anda dapat menyampaikan kekurangan-kekurangan saudaramu dan mendedahkan perkara-perkara yang dibencinya kepada orang lain. Oleh yang demikian, maka membuat sindiran itu samalah seperti berkata terang-terangan, perbuatan samalah seperti perkataan, mengisyarat samalah seperti mengangguk, berkelip mata samalah seperti menunjuk gerak laku. Pendek kata apa saja yang dilakukan olehmu boleh menunjukkan kepada maksud ghibah atau mengumpat, maka ia adalah dilarang dan dihukumkan haram.
Jadi orang yang mengisyaratkan dengan tangannya perihal pendek atau panjangnya seseorang, ataupun ia meniru-niru tentang gaya perjalanan orang itu, maka itu juga adalah ghibah yang dilarang. Menulis mengenai keaiban diri seseorang adalah ghibah juga, sebab qalam atau pena itu ganti lisan.
Di antaranya, ialah jika ia mendengar ghibah atau umpat dengan penuh takjub dan cenderung dengan maksud agar si pengumpat it akan bertambah semangat dan terdorong terus untuk mengumpat secara berlebih-lebihan. Ia akan menggalakkan si pengumpat itu supaya meneruskan pengumpatannya dengan berkata: Ajaib, aku tak tahu yang dia itu begini. Ataupun dengan berkata: Memang aku tidak menyangka sama sekali bahwa dia boleh berkelakuan semacam itu. Ataupun: Mudah-mudahan Allah selamatkan aku dari bala’ seperti ini. Semua ucapan-ucapan serupa itu adalah sama seperti membenarkan kata-kata si pengumpat itu, manakala membenarkan kata-kata orang yang mengumpat samalah seperti mengumpat juga. Sedangkan orang yang mendiamkan diri saja, tanpa membuat apa-apa bantahan, tutur bersyarikat dengan orang yang mengumpat itu. Dia tetap menerima dosanya juga, kecuali jika ia mengingkarinya dengan lidah, ataupun sekurang-kurangnya dalam hati, kalau ia takut kepada orang itu.
Dalam sebuah Hadis:
“Bilamana seorang Mu’min dihinakan di hadapan Mu’min yang lain, dan tidak menolongnya padahal ia berkuasa menolong, niscaya Allah akan menghinakannya di Hari Kiamat di hadapan khalayak ramai.”
Dalam suatu riwayat yang lain:
“Barangsiapa yang mempertahankan kehormatan saudaranya secara rahsia, niscaya menjadi wajib atas Allah untuk mempertahankan kehormatannya kelak di Hari Kiamat.”
SEBAB-SEBAB BERLAKU GHIBAH
Ada beberapa perkara yang menarik orang kepada suka mengumpat, di antaranya:
Pertama: Untuk memuaskan hati, iaitu apabila berlaku sesuatu sebab yang menaikkan kemarahannya, kerana manusia tatkala sedang meluap-luap kemarahannya, hatinya akan merasa puas bila ia dapat menyebut-nyebut keburukan-keburukan orang yang dimarahinya itu.
Pendek kata kedengkian yang menyebabkan dendam kesumat dan kemarahan itu adalah pendorong yang utama kepada sifat ghibah atau pengumpatan.
Kedua: Menurutkan kemahuan rakan handai dan membantu mereka dalam memperkatakan perihal orang lain. Seringkali berlaku ketika berlucu dan bersenda gurau itu, diperbualkanlah tentang hal-ehwal dan urusan orang lain, maka ia akan menjadi serba salah, andaikata dia mengingkarkan kelakuan itu ataupun dia meninggalkan majlis mereka, tentulah rakan handainya akan merasa kurang senang terhadapnya dan mereka akan menyingkirkannya sama sekali.
Ketiga: Menunjuk-nunjuk kelebihan peribadinya dengan kemegahan dan keistimewaan, iaitu mengangkat dirinya sebagai lebih mulia dan lebih tinggi kedudukannya dari si fulan atau si fulan.
Keempat: Hasad dengki dan irihati, iaitu menyimpan perasaan tidak enak, bila mendengar orang lain dipuji-puji atau disanjung oleh orang ramai, ataupun kerana sesuatu sebab atau yang lain, maka orang itu dihormati dan dimuliakan, sehingga menyebabkan ia merasa bosan terhadapnya. Oleh itu maka timbullah perasaan dengki dan hasad di dalam hatinya, dicubalah berbagai-bagai cara untuk melenyapkan kenikmatan yang dimiliki oleh orang itu, maka tiadalah didapatinya melainkan dengan jalan mencela atau mengumpatnya, sehingga orang ramai berhenti dari memuji-muji orang itu atau menghormatinya, sebab jiwanya tidak tertanggung lagi untuk mendengar segala kepujian dan penghormatan orang ramai terhadap orang itu.
Kelima: Menghadirkan diri dalam majlis-majlis senda gurauan dan menghabiskan masa dengan bergelak ketawa, di mana di dalam majlis-majlis serupa itu, biasanya di sebut berbagai-bagai keburukan dan keaiban orang lain yang boleh menimbulkan gelak ketawa. Ini boleh berlaku dengan jalan menceritakan perihal orang dengan melahirkan rasa takjub terhadap perilaku orang itu.
Keenam: Menista dan mengejek-ejek orang dengan tujuan untuk meghinanya. Puncanya ialah sifat takabbur dan bongkak dalam diri sendiri, serta memandang orang lain semuanya rendah, hina, bodoh atau jahil.
Selain yang tersebut di atas tadi, ada banyak lagi sebab-sebab yang boleh menarik manusia kepada tercebur dalam bahaya ghibah, atau pengumpatan itu, dan pokok pangkalnya ialah desas-desus syaitan dan hasutannya.
Seterusnya ghibah juga boleh berlaku dalam keadaan marah. Misalnya ia merasa sangat marah, bila melihat seorang melakukan sesuatu kemungkaran di hadapannya, lalu dilahirkannya sikap marahnya itu, dan disebut-sebutkan pula nama pelakunya kepada semua orang. Padahal yang wajib dalam perkara semacam ini, ida merahsiakan nama orang itu dan tidak dijajakan namanya kepada orang lain. Dan sememangnya, tidak ada alasan baginya, mengapa dia mesti memberitahukan nama orang itu kepada orang lain.
Semoga kita semua dapat menjaga LIDAH yang boleh membawa kita ke neraka. terima kasih. uye-019-9188181
PENAWAR ATAU UBAT MENGEKANG LIDAH DARI MENGUMPAT
Ketahuilah bahwasanya segala keburukan-keburukan akhlak, dan kelakuan yang terkeji dapat dipulihkan semula dengan pati dan inti ilmu pengetahuan dan amalan.
Adapun penawar untuk mengekang lidah dari mengumpat orang secara ringkas,
1- Suka mengumpat itu akan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah Ta’ala. Tegasnya, bila ia mengumpat orang samalah seperti ia melanggar perintah atau larangan Allah Ta’ala.
2- Meneliti diri sendiri terlebih dulu, apakah dalam dirinya itu ada atau tiada keaiban atau keburukan-keburukan. Jika ada, tentulah lebih utama ia membetulkan diri sendiri daripada mengumpat orang lain.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
“Bertuahlah orang yang sentiasa bekerja kuat untuk membetulkan diri sendiri, daripada menyebut-nyebut keaiban orang lain.”
Apabila terdapat pada diri seseorang sesuatu keburukan, maka sepatutnya ia merasa malu kerana lalai untuk membetulkan diri sendiri sebaliknya mencuba pula untuk membetulkan orang lain. Seterusnya hendaklah ia faham, bahwa jika ia mendapati orang lain itu bersikap lemah, atau tidak berdaya untuk membetulkan dirinya sendiri. Ini jika keaiban-keaiban atau keburukan itu dilakukan oleh orang itu dengan sengaja dan dengan pilihan sendiri bukan terpaksa. Tetapi jika keaiban atau keburukannya itu memang dari asala semula jadinya, maka mencelanya samalah seperti mencela Tuhan yang menjadikannya. Sebab siapa yang mencela sesuatu ciptaan, maka ia telah mencela penciptanya.
Apabila seseorang hamba mendapati dirinya sepi dari keaiban atau keburukan, maka sayugialah hendaknya ia mensyukuri Allah Ta’la yang telah memeliharaya dari segala sifat-sifat yang tidak baik itu. Dan jangan pula ia cuba mengotori peribadinya dengan keburukan-keburukan yang amat tercela kelak. Sebab mencela atau mengumpat orang lain itu diumpamakan seperti memakan daging orang mati, dan ia adalah terkira antara sebesar-besar keaiban.
Bahkan jika ia menginsafi dirinya dan bertenang sejenak, niscaya ia akan dapati, bahwa sangkaannya yang dirinya itu suci dari segala keaiban dan keburukan itu adalah salah. Ini membuktikan juga, bahwa ia masih belum kenal betul-betul dengan diri sendiri. Orang yang menganggap dirinya tidak pernah bersalah adalah berdosa besar.
3- Memahami bahwa orang yang dicelanya itu akan merasakan pedihnya celaan itu, sama seperti dirinya sendiri bila dicela oleh orang lain. Jika sekiranya ia tidak meredhai orang lain mencelanya, maka sewajarnyalah ia juga tidak meredhai orang lain mencelanya, maka sewajarnyalah ia juga tidak meredhai sesuatu bagi orang lain, sebagaimana ridak diredhainya sesuatu itu bagi dirinya sendiri.
Kesimpulannya: Sesiapa yang memang kuat keimanannya tentulah lidahnya akan terpelihara dari ghibah atau mengumpat orang lain.
Sebanyak 6,382 Saman Dikeluarkan Kepada Pemandu Kenderaan Sepanjang Tempoh
'Op Selamat' Bermula 19 Mac Hingga Semalam
-
*KUANTAN: *Sebanyak 6,382 saman dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan
sepanjang tempoh Op Selamat 26 bermula 19 Mac lalu hingga semalam.
Ketua Polis Pah...
5 hours ago

No comments:
Post a Comment