28 February 2009

PBPMNP anggap kemelut kepimpinan dalaman selesai


PBPMNP anggap kemelut kepimpinan dalaman selesai

KUALA ROMPIN – Kemelut kepimpinan Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Pahang (PBPMNP), perlu dihentikan segara kerana pengesahan minit Mesyuarat Agung Khas Pemilihan Ahli Jawatankuasa Sesi 2008-2011 diputuskan November lalu.

Pengerusi PBPMNP, Esak Utoh berkata, keputusan itu perlu diterima secara ‘terbuka’ semua pihak dan ia bagi mengelakkan pertikaian berpanjangan apabila ada segelintir ahlinya sebelum ini turut mengakui menerajui kepimpinan persatuan.

Menurutnya, perkara itu perlu dijelaskan dengan lebih tepat kepada setiap ahli supaya tidak timbul keraguan kerana persatuan itu diwujudkan untuk membela nasib bekas-bekas anggota polis.

“Kita meminta pihak terbabit supaya menerima keputusan dengan hati terbuka memandangkan satu mesyuarat khas dibuat pada tahun lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Esak berkata, keputusan pemilihan kali ini tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak kerana ia disahkan dan ditandatangani sendiri Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri.

“Tiga surat telah diterima yang ditandatangani, Shafie, yang menyatakan bahawa, pengesahan minit mesyuarat agung jawatankuasa, pengesahan jawatan pengerusi PBPMNP dan pengesahan senarai ahli jawatankuasa PBPMNP,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul isu pelantikan tersebut tidak sah sebaliknya ia adalah muktamad berdasarkan perintah mahkamah serta cara perlaksanaan selain surat daripada Pendaftar Pertubuhan yang mengesahkan perjalanan mesyuarat itu.

Beliau meminta semua ahli supaya dapat bersatu semula dalam persatuan terbabit dalam memastikan setiap perancangan dan tindakan persatuan dapat dilakukan dalam keadaan yang lebih teratur pada masa depan.

“Janganlah bertelagah sesama sendiri dan buat kumpulan itu dan kumpulan ini, kerana kita sudah ‘tua’ sudah tidak larat lagi, jadi soal kepimpinan sudah selesai dan berharap tiada lagi pihak yang berkecil hati atau mewujudkan kumpulan tertentu,” katanya.

No comments:

Post a Comment